IPOH: Polis berjaya menggagalkan cubaan sindiket dadah menggunakan trak tunda untuk menunda kenderaan mewah jenis Toyota Alphard yang memuatkan dadah bernilai lebih RM23.75 juta.

Trak tunda dinaiki dua beranak berusia 27 dan 58 tahun berasal dari Kelantan itu ditahan di Kilometer 7, Jalan Raya Timur Barat, dekat Gerik, Perak kira-kira jam 6 petang, Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan mewah itu, polis menjumpai 447 dadah jenis ketamin dan methamphetamine dianggarkan seberat 448 kilogram di dalam bungkusan teh Cina.

Jumlah dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 2.1 juta penagih.

"Saya percaya dadah ini bukan saja untuk penagih-penagih tempatan malah kita percaya, daripada risikan kita, yang ada akan dihantar ke negara ketiga. Contohnya seperti jiran-jiran kita Filipina, Indonesia, Korea Selatan, Australia.

"Rampasan-rampasan ini sekurang-kurangnya dapat memutuskan bekalan bagi penggunaan tempatan dan juga luar negara. Turut dirampas adalah trak penunda dan juga kereta Alphard berwarna putih tersebut dan juga jumlah wang daripada suspek yang ditangkap sejumlah RM19,672," ujar Razarudin.

Beliau bercakap dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada Selasa. Hadir sama Ketua Polis Perak, Datuk Mior Farid Alathrash Wahid.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua beranak itu negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui siapa ‘kingpin’ sindiket berkenaan yang dipercayai rakyat tempatan.